Ketidakadilan Membawa Kehancuran Kepada Peradaban Negara

Di kesempatan ini saya ingin menjelaskan tentang ketidakdilan di dalam sesebuah negara akan mengakibatkan negara itu menuju kepada kehancuran. Oleh itu, di sini saya terjemahkan secara ringkas (tidak kesemuanya) karya Mukaddimah karangan Imam Ibnu Khaldun berkaitan topik ketidakadilan akan membawa kehancuran kepada peradaban negara. Semoga mendapat manfaat daripadanya. InsyaAllah.

Mengambil hak milik orang lain dengan paksaan akan mengakibatkan hilangnya perasaan manusia untuk berusaha mengumpul harta kekayaan. Masyarakat akan beranggapan bahawa tujuan daripada hasil usaha mereka itu akan diambil oleh pemerintah. Apabila penyitaan harta benda sering berlaku dalam setiap perkara, kegiatan ekonomi juga menjadi perlahan. Namun sekiranya penyitaan itu tidak begitu keras dan mengikut batasan, maka halangan terhadap pertumbuhan ekonomi juga tidak akan terjejas. Ini kerana peradaban dan kesejahteraan masyarakat serta kemajuan aktiviti perdagangan itu bergantung kepada penghasilan keuntungan dan usaha manusia ke arah perkembangan ekonomi. Apabila manusia tidak berusaha mencari keuntungan untuk kehidupannya, peradaban akan runtuh, ekonomi akan merosot dan semuanya akan hancur. Rakyat akan meninggalkan negaranya untuk mencari rezeki di tempat lain, maka rakyat di negara itu akan berkurangan dan tiada lagi aktiviti ekonomi. Permasalahan ini akan menyebabkan berlakunya perpecahan dan mengakibatkan kehancuran kepada kerajaan kerana rakyatlah yang membentuk sesebuah kerajaan di tempatnya.

Di sini terdapat sebuah cerita dari Parsi yang mengisahkan tentang ketidakadilan ini. Pada pemerintahan Raja Bahram bin Bahram, seorang agamawan terkenal Mobedhan telah menyatakan perasaan kurang senangnya terhadap raja itu yang bersikap tidak adil. Beliau menyampaikan nasihatnya melalui kiasan tentang kisah seekor burung hantu. Perkara ini berlaku setelah raja mendengar bunyi burung hantu lalu raja itu bertanya kepada Mobedhan tentang maksud bunyi burung hantu itu. Beliau menjawab:

“Seekor burung hantu jantan ingin berkahwin dengan seekor burung hantu betina. Sebagai syarat perkahwinan, burung hantu betina itu telah meminta supaya burung hantu jantan memberikan hadiah kepadanya berupa 20 kampung yang dibinasakan oleh raja agar dia dapat berbunyi di sana. Burung hantu telah menerima syarat itu dan mengatakan bahawa sekiranya raja masih memerintah, aku akan berikan kepadamu 100 kampung yang telah dibinasakan. Ini syarat yang paling mudah untuk dipenuhi”

Mendengar cerita kiasan itu, raja mula menginsafi keterlanjuran perbuatannya itu. Raja bertanya kepada Mobedhan apakah yang patut dilakukannya. Mobedhan menjawab:

“Wahai Tuanku! Kebesaran, kekuasaan dan kedaulatan hanya akan terhasil melalui syariat agama Islam serta ketaatan kepada Allah SWT. Iaitu melakukan apa yang disuruhNya dan meninggalkan apa yang dilarangNya. Syariat itu pula dapat ditegakkan melalui kekuasaan dan kedaulatan. Kehebatan kekuasaan dan kedaulatan itu hanya akan tercapai melalui rakyat. Rakyat pula akan hidup dengan bantuan harta kekayaan kerajaan. Manakala cara untuk memperolehi harta kekayaan melalui usaha rakyat dan cara untuk mendapatkan usaha rakyat melalui keadilan. Keadilan merupakan timbangan di kalangan manusia dan Allah SWT menegakkan keadilan dengan melantik seseorang untuk mengawasinya iaitu raja. Tuanku telah merampas ladang-ladang dan mengambilnya secara paksaan daripada pemiliknya yang mana mereka juga membayar cukai tanah. Tuanku telah memberikan ladang-ladang mereka kepada para pegawai tinggi dari kalangan orang-orang yang malas. Mereka ini tidak akan menjaga dan mengusahakan ladang-ladang itu serta tidak mengendahkan apa akibatnya nanti. Sedangkan mereka tidak diminta untuk membayar cukai tanah kerana mereka adalah orang-orang yang rapat dengan Tuanku. Mereka yang dirampas ladang-ladang pula dipaksa membayar cukai tanah dan disuruh mengusahakan ladang-ladang tersebut dengan tiada keadilan. Oleh itu, mereka akan meninggalkan ladang-ladang mereka itu dan membuka ladang-ladang yang jauh sehingga sukar untuk sampai di sana. Maka usaha pertanian dan ladang-ladang akan binasa. Disebabkan itu, kerajaan hanya mempunyai sedikit kewangan, tentera dan rakyat yang semakin berkurangan. Raja-raja di negara jiran akan menyerang kerajaan Parsi kerana mereka menyedari bahawa asas-asas yang perlu ada di dalam sesebuah kerajaan sudah tiada lagi di sini”

Setelah mendengarnya, raja itu mula memberikan segala tumpuan terhadap permasalahan di dalam negaranya. Ladang-ladang yang dirampas dikembalikan semula kepada pemilik asalnya. Mereka yang dahulunya ditekan dan tidak bersemangat, kini kembali bersemangat setelah mendapat semula ladang-ladang mereka sehingga negara menjadi makmur. Negara mempunyai banyak sumber kewangan hasil kutipan cukai tanah, tentera menjadi kuat dan kekuatan musuh dapat dilumpuhkan. Raja kembali menguruskan sendiri dan pemerintahannya setelah itu menjadi makmur dan pentadbiran kerajaan menjadi sistematik. Pengajaran daripada kisah ini ialah bahawa ketidakadilan akan meruntuhkan peradaban dan mengakibatkan kehancuran kepada sesebuah negara.

Perlu diketahui bahawa kerajaan yang berpusat di bandar-bandar besar seringkali melakukan ketidakadilan namun masih lagi tidak dibinasakan. Apabila sesebuah bandar mempunyai penduduk yang ramai dalam pelbagai keadaan, maka kerugian atau penyelewengan yang ditanggung akibat dari perbuatan itu kelihatan sedikit sahaja kerana kerugian itu berlaku secara perlahan-lahan. Disebabkan oleh kepelbagaian kegiatan ekonomi di dalam sesebuah bandar besar, sebarang kerugian akan kekal terselindung buat sementara dan akibatnya akan terserlah setelah beberapa waktu selepas itu. Maka kerajaan yang melakukan penyelewengan itu akan digantikan sebelum negara menjadi binasa.

Ketidakadilan bukan sekadar bermaksud merampas wang atau harta benda daripada pemiliknya tanpa sebab-sebab tertentu sahaja, tetapi ia mengandungi pengertian yang lebih daripada itu. Sesiapa sahaja yang mengambil harta orang lain atau menggunakan tenaga mereka untuk bekerja secara paksaan, membuat tuntutan berlebihan terhadap mereka, mengenakan beban kerja yang tidak diizinkan syarak, semua ini telah melakukan penganiayaan terhadap manusia. Selain itu, mengutip cukai secara tidak berpatutan atau mencabuli harta serta hak-hak manusia lain juga telah melakukan ketidakadilan dan kezaliman. Pihak yang menanggung akibat daripada ketidakadilan ini ialah kerajaan yang sedang menuju kehancuran.

Inilah yang sebenarnya dimaksudkan oleh Rasulullah SAW apabila Baginda mencegah ketidakadilan. Akibat kerosakan dan kehancuran peradaban akhirnya akan mendorong kepada kehancuran umat manusia. Maka kepentingan syariat Islam perlu dijaga di dalam lima perkara (Maqasid Syariyyah):

1. Menjaga kesucian agama Islam.

2. Menjaga jiwa atau kehidupan setiap manusia.

3. Menjaga akal fikiran.

4. Menjaga keturunan atau nasab.

5. Menjaga harta benda.

Ketidakadilan yang paling besar dan yang paling menyumbang ke arah kemusnahan peradaban adalah dengan membebani suatu tanggungjawab yang tidak wajar dan menggunakan tenaga rakyat untuk melakukan kerja-kerja secara paksaan. Sebabnya tenaga seorang rakyat merupakan suatu daripada benda-benda yang dapat dijadikan modal. Daripada usaha dan susah payah, mereka memperolehi modal dan mendapatkan keuntungan dengan tulang empat kerat. Sekiranya mereka dipaksa untuk melakukan suatu pekerjaan lain yang tiada hubungan dengan mereka, maka mereka tidak dapat mengaut keuntungan daripada tenaga yang mereka curahkan itu. Mereka terpaksa menggangung penderitaan dan kehilangan punca rezeki untuk menjalani kehidupan mereka seharian.

Namun ketidakadilan yang jauh lebih besar dan lebih banyak menimbulkan kehancuran kepada peradaban dan negara ialah mendapatkan milik orang lain dengan membelinya pada harga yang amat murah dan menjualnya dengan harga yang amat tinggi secara paksaan. Selalunya mereka dipaksa menerima harga yang amat tinggi itu dengan keistimewaan menangguhkan pembayaran. Pembeli cuba menyedapkan perasaan sendiri di atas kerugian yang terpaksa ditanggung dengan harapan harga pasaran akan meningkat tinggi juga. Malangnya mereka diminta membayar hutang dengan kadar segera dan mereka terpaksa menjual barangan itu dengan harga yang paling murah.

Pilihan yang masih ada ialah menutup perniagaan kerana telah kehabisan modal memandangkan ia tidak dapat dipulihkan lagi dengan keuntungan. Jika perniagaan merosot maka rakyat akan kehilangan pekerjaan dan punca rezeki untuk hidup. Oleh itu, pendapatan kerajaan hasil kutipan cukai akan berkurangan dan merosot. Ini membawa kepada kehancuran peradaban di dalam sesebuah negara secara beransur-ansur.

Melihat kepada akibat buruk ketidakadilan ini, semua aktiviti yang melibatkan kepada ketidakadilan adalah ditegah oleh Islam. Walaupun syarak membenarkan penggunanan kecerdikan dalam urusan jual beli, tetapi syarak melarang sama sekali umatnya mengambil harta orang lain dengan cara yang tidak sah. Tujuannya adalah untuk menghalang berlakunya kesan-kesan buruk yang akan mendorong kepada kehancuran peradaban melalui kekacauan kerana tiada peluang untuk mendapatkan rezeki.

Semua ini berlaku disebabkan oleh kehendak negara dan kerajaan untuk mendapatkan lebih banyak sumber kewangan kerana mereka ingin menikmati hidup yang mewah. Perbelanjaan mereka semakin meningkat sehingga pendapatan tetap mereka tidak lagi cukup untuk menampung perbelanjaan mereka. Kerajaan akan memperkenalkan pelbagai cara atau kaedah untuk menambahkan pendapatan supaya dapat mengimbangi belanjawan. Namun kehidupan mewah mereka itu terus berlangsung walaupun perbelanjaan meningkat disebabkan sikap mereka itu. Keinginan untuk merampas harta rakyat menjadi semakin terdesak. Keadaan ini akan menyebabkan kekuasaan negara menjadi semakin merosot sehingga pengaruhnya dihapuskan dan digulingkan oleh penentang mereka.

buluh.iluvislam.com

Wallahualam.

You can leave a response, or trackback from your own site.

2 Responses to “Ketidakadilan Membawa Kehancuran Kepada Peradaban Negara”

  1. IBNU JAMIL says:

    di negara kita ketidakadilan begitu ketara. pemimpin mengaut keuntungan, hidup bermewah-mewah, menjanjikan projek dan dana sekian puluh juta, siapa yang kaut? suku sakat Melayu elite yang menolak pandangan ulama. golongan ini semakin rakus, walaupun harta dunia ini hanya perhiasan belaka. kerakusan mereka menggunakan PDRM untuk memusnahkan siapa sahaja yang menjadi musuh politik, walaupun dengan fitnah. inilah 1Malaysia yang dimegahkan.

  2. husin bin yussof says:

    Salam,
    Dizaman ini kita diera 2011 yaini sudah sangat berjauhan dengan zaman rasullah, pelbagai pembaharuan, semakin indah dan kesenanagan. itulah hakikat. Dizaman rasullah keindahan hanya diperkatakan dengan lidah yang tidak dapat digambarkan dengan pandangan. dan dizaman ini ianya dibuktikan dengan reakaan. manusia berlumba-lumba mendapatkannya. itu lah yang manusia dihari ini. kata-kata saudara sebenarnya kurang jelas iaini. kita wajib menghormati Para ulamak sebagai waris rasul. dan kita mesti tidak boleh taksub dengan ulamak disebabkan politik. yang mencerminkan islam. disebut rasullah. siapa yang mengikut selain dari ajaran islam adalah sesat. dan politik bukan lah ciptaan islam. kita telah berada diera kini.

Leave a Reply

Powered by WordPress | T-Mobile Phones for Sale at BestInCellPhones.com | Thanks to Free Phones at iCellPhoneDeals.com, Free MMORPG Games and Fat burning furnace review