Buku Karanganku Sempena Puasa Ramadhan

Alhamdulillah. Bersyukur saya ke hadrat Allah Taala kerana dengan limpah dan kurniaNya maka saya dapat menyiapkan buku Hadiah Cinta Untuk Ilahi sebelum tiba bulan Ramadhan tahun 1431 Hijrah / 2010 Masihi ini. Sesungguhnya buku Hadiah Cinta Untuk Ilahi ini merupakan sebahagian daripada usaha dakwah saya khususnya kepada umat Islam di Malaysia.

Harga: RM 18.00

Halaman: 239 muka surat

Penulis: Muhammad Rashidi bin Haji Wahab

ISBN: 978-967-5711-10-7

Penerbit: Oasis Buku Sdn. Bhd.

Sinopsis buku: Buku Hadiah Cinta Untuk Ilahi ini menerangkan penjelasan hukum-hakam berkenaan puasa Ramadhan, puasa-puasa sunat, amalan menghidupkan bulan Ramadhan, solat sunat Hari Raya dan zakat fitrah. Turut dimuatkan juga hikmah ibadat, kelebihan dan keistimewaan amalan tersebut. Kebanyakan hukum-hakam puasa yang terkandung di dalam buku ini dijelaskan mengikut pendapat mazhab Shafie sesuai dengan pegangan mazhab majoriti masyarakat Islam di Malaysia. Walaubagaimanapun, turut dinyatakan juga beberapa pandangan mazhab lain yang difikirkan perlu untuk pengetahuan dan maklumat para pembaca.

Bolehkah Belajar Ilmu Agama Tanpa Berguru?

PENGENALAN
Sejak kebelakangan ini, kita sering kedengaran seruan dan juga saranan supaya mendalami perbahasan para ulama cukup sekadar berpandukan buku-buku yang dibeli sahaja tanpa perlu merujuk dan bertalaqqi dengan para ulama. Mereka juga turut merasa yakin dengan kefahaman sendiri seolah-olah menyamakan taraf ilmu agama yang sangat rumit dan memerlukan penjelasan daripada para ulama dengan ilmu-ilmu keduniaan yang lain. Maka muncullah golongan tertentu yang merasakan diri mereka sudah cukup layak untuk masuki di dalam bidang ini hasil bacaan buku semata-mata.
Gejala ini mengundang pelbagai kesan negetif di antaranya kelemahan mereka memahami dan mendalami perbahasan sesuatu bidang ilmu itu dengan gambaran yang sebenarnya. Ini kerana ilmu Islam bukan sahaja mencakupi fakta dan kenyataan semata-mata, bahkan ia memerlukan kefahaman yang jelas daripada dada-dada para alim ulama yang mengambil ilmu daripada ulama terdahulu sehinggalah sampai kepada Rasulullah SAW. Tanpa bimbingan daripada ulama atau guru, jikalau berlaku salah kefahaman ketika membaca, seseorang itu akan terus sesat dengan kefahamannya tadi bahkan terus menyesatkan orang lain pula. Disebabkan itulah muncul kenyataan bahawa belajar agama seorang diri dengan buku semata-mata tanpa bimbingan ulama/guru seumpama bergurukan syaitan (walaupun kebanyakkan ulama berpendapat kenyataan ini bukan hadis tetapi Ibnu Arabi di dalam kitabnya al-Futuhat al-Makiah berpendapat bahawa kenyataan ini adalah hadis).
Memandangkan perkara ini telah menjadi perdebatan hangat, maka saya ingin mengambil sedikit ruang untuk menjelaskan perkara ini. Semoga penjelasan ringkas ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak. InsyaAllah.

Asya’irah Pegangan Majoriti Umat Islam?

IMAM ABU HASSAN AL-ASY’ARI
Pengasas aliran Asya’irah (Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah) ialah Imam Ali bin Ismail bin Ishak bin Salim bin Abdullah Musa bin Bilal bin Bardah bin Abu Musa al-Asy’ari. Beliau lebih dikenali sebagai Imam Abu Hassan al-Asy’ari. Beliau juga merupakan cucu kepada salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W. iaitu Saidina Abu Musa al-Asy’ari RA. Beliau dilahirkan pada tahun 260 Hijrah di Basrah dan wafat pada 337 Hijrah. Ini bermakna beliau berkesempatan untuk hidup sebagai golongan Salaf al-Soleh sekitar tahun 300 Hijrah yang merupakan sebaik-baik generasi.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sebaik-baik manusia ialah (kaum Muslimin yang hidup) pada kurunku, kemudian diikuti oleh kurun yang sepelas mereka kemudian diikuti oleh kurun yang selepas mereka.
(Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad).
Imam Abu Hassan al-Asyari keluar dari fahaman Muktazillah setelah guru beliau pada ketika itu iaitu Imam al-Juba’iy tidak dapat menjawab persoalan yang ditanyakannya berkaitan perbuatan Allah Taala. Selepas keluar dari Muktazillah, beliau merupakan penentang kuat fahaman Muktazillah dengan menggunakan hujjah-hujjah akal tanpa mengetepikan al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W sebagai sandaran utama. Beliau juga memperbahaskan manhaj Ilmu Kalam dengan disaduri dalil-dalil maksum untuk menyucikan Islam dari sebarang fahaman yang menyesatkan.

Kegagalan Mengajar Erti Kehidupan

Setiap Isnin petang, kami di iLuvislam.com akan mengadakan usrah bersama para pekerja sepenuh masa di sini. Perbagai topik dan perbincangan telah dibahaskan. Di antara topik yang pernah dibahaskan itu seperti; manusia diberikan pilihan untuk memilih, kerja secara berkumpulan, berusaha tangga kejayaan, bersyukur dengan segala pemberianNya dan sebagainya lagi. Namun, semasa giliran saya menjadi naqib, saya memilih satu topik yang sedikit berlawanan dengan topik-topik sebelum ini dengan menjadikan kegagalan sebagai subjek perbahasannya.
Setiap ahli usrah dikehendaki menceritakan kegagalan yang paling teruk pernah menimpa mereka. Pelbagai reaksi daripada perkongsian topik ini. Kebanyakkan mereka menceritakan pengalaman menghadapi kegagalan di dalam peperiksaan semasa pengajian dan sebagainya. Begitu juga saya, tidak terlepas daripada perkongsian tersebut.
Persoalan yang selalu kita dengari jika seseorang itu menghadapi kegagalan ialah; kenapa aku gagal sedangkan aku telah berusaha bersungguh-sungguh?, berdoa siang dan malam, akan tetapi kejayaan tidak juga muncul tiba. Di mana silapnya aku? Adakah tuhan tidak menyayangi aku?

Adab-Adab Berbeza Pendapat (Khilaf)

Assalamualaikum Warahmatullah.

PENGENALAN

Apabila kita membicarakan perihal adab-adab dan akhlak maka persoalan ini sudah pastilah mempunyai kaitan khusus dengan perbincangan ilmu Tasawuf. Ilmu Tasawuf pula adalah sebahagian daripada ilmu-ilmu yang perlu dipelajari oleh setiap umat Islam selain daripada ilmu Akidah dan Fiqh. Tidak lengkap rasanya jika perbahasan hukum-hakam tidak diselitkan bersama dengan unsur-unsur ilmu Tasawuf. Ini kerana ilmu Tasawuf bertindak menjaga kesucian dan ketenangan hati dan kemudian diterjemahkan melalui perbuatan zahir yang diambil kira berdasarkan ilmu Fiqh. Barangsiapa yang hanya mempelajari ilmu Fiqh dan Akidah tanpa mempelajari dan menghayati ilmu Tasawuf maka sesungguhnya mereka sengaja menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan.

Berkata Imam Junaid:

Tasawuf adalah menggunakan semua akhlak ketinggian yang terpuji dan meninggalkan semua tingkah laku yang rendah lagi dikeji.

(Kitab: al-Nusrah al-Nabawiyyah).

Islam adalah agama yang amat menitikberatkan soal akhlak dan adab-adab bagi menjamin kebahagiaan dan keharmonian hidup di dunia dan akhirat. Adab-adab yang diajar oleh Islam ini merangkumi segala aspek samada sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besar perkara. Perutusan Rasulullah S.A.W. kepada manusia juga di antara lainnya adalah untuk menyempurnakan akhlak yang baik lagi terpuji kepada seluruh alam.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemulian akhlak (manusia).

(Riwayat Baihaqi).

Masih Sibuk Dengan Isu-Isu Khilafiyyah?

PENGENALAN
Sesungguhnya Islam adalah agama penyatuan dan perpaduan bukanlah sebuah agama perpecahan dan pergaduhan. Islam juga adalah agama toleransi dan berkasih sayang bukanlah sebuah agama kekerasan dan kezaliman. Ini dapat kita fahami berdasarkan beberapa dalil di antaranya:
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah Taala (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai.
(Surah ali-Imran: Ayat 103).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Orang yang beriman disatukan dan tiada kebaikkan bagi sesiapa yang tidak bersatu dan yang tidak disatukan.
(Riwayat Ahmad).
Kita dapati pada hari ini masyarakat Islam di Malaysia (khususnya) kian berpecah-belah lantaran keghairahan beberapa pihak yang begitu gemar mengadakan perdebatan dan perbahasan isu-isu khilafiyyah secara terbuka. Keadaan menjadi lebih parah kerana golongan awam turut diajak bersama-sama menjadi hakim yang tidak bertauliah tanpa didasari oleh ilmu dan akhlak. Fenomena ini berlaku di mana-mana sahaja lantaran peranan yang dimainkan oleh media massa (televisyen, radio, akhbar, majalah, website, blog dll) merupakan salah satu faktor utama perpecahan dan permusuhan umat Islam di Malaysia kian menjadi-jadi. Mungkin mereka ini terlupa dengan ingatan dan pesanan Allah Taala sepertimana berikut:
Firman Allah Taala bermaksud:
Tolong-menolonglah kamu pada jalan kebajikan dan taqwa dan jangan kamu tolong-menolong pada jalan dosa dan permusuhan.
(Surah al-Maidah: Ayat 2).

Kenali Pendengar dan Pelajar Sebelum Mengajar

Firman Allah Taala bermaksud:
Berikanlah peringatan sekiranya peringatan tersebut mendatangkan manfaat.
(Surah al-Ala: Ayat 9).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Wahai Muaz, adakah engkau ketahui hak Allah Taala ke atas hamba-hambanya dan apakah hak hamba-hamba ke atas Allah Taala? Lalu aku (Muaz) berkata: Allah Taala dan rasulNya yang lebih mengetahui. Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesungguhnya hak Allah Taala ke atas hamba-hambaNya ialah mereka perlu menyembahNya dan jangan menyekutukanNya dan hak hamba-hamba ke atas Allah Taala ialah agar Dia tidak mengazab sesiapa yang tidak menyekutukanNya dengan sesuatu. Maka aku berkata: Wahai Rasulullah S.A.W., bolehkah aku khabarkan berita gembira ini kepada manusia? Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Jangan sampaikan berita ini, (jika kamu menyampaikan juga berita ini) pastilah akan memenatkan fikiran mereka.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan dalil-dalil di atas maka bolehlah kita katakan di sini bahawa bukanlah semua ilmu yang ada di dalam diri seseorang itu (terutamanya para guru, pendakwah dan alim ulama) perlu disampaikan kepada para pelajar ataupun pendengar. Peringatan ini disampaikan agar para guru atau pendakwah melihat terlebih dahulu kemampuan dan kefahaman berfikir para pendengar yang berada di hadapannya sebelum menyampaikan sesuatu ilmu. Ini bagi menjaga masyarakat awam daripada tersalah tafsiran terhadap sesuatu perkara itu kerana mereka masih belum mampu menyelami perbahasan ilmu yang begitu rumit dan mendalam. Lebih dikuatiri lagi jika dalil-dalil dari al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. turut difahami dan diberikan tafsiran menurut zahirnya sahaja tanpa merujuk terlebih dahulu kepada alim ulama.

Peringatan Kepada Golongan Yang Tidak Bermazhab

Mungkin terdapat sesetengah golongan yang cetek penyelidikkan dan pengetahuannya tentang perbahasan di dalam ilmu-ilmu agama Islam berpendapat bahawa masyarakat awam pada hari ini tidak perlu mengikut mana-mana mazhab dan para ulama, masyarakat hanya perlu mengikut al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. sahaja secara terus. Mereka berpendapat sudah cukup dengan segulung ijazah sarjana ataupun Phd sudah melayakkan seseorang itu tidak mengikuti mana-mana mazhab. Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengatakan mazhab adalah rekaan para ulama silam semata-mata dan tiada kaitan dengan Islam. Sesiapa sahaja yang mengikut mazhab termasuk di kalangan pelaku bidaah mungkar bahkan ada yang lebih dangkal lagi mengatakan seseorang itu telah sesat dan kafir. Adakah kenyataan seperti ini benar-benar ilmiah?
Apabila kenyataan seperti ini keluar dari mulut seseorang maka telah terbukti kecetekkan mereka di dalam memahami perbahasan para ulama muktabar. Mereka membayangkan bahawa para ulama mazhab terdahulu telah mengeluarkan fatwa tanpa sandaran atau lalai terhadap nas-nas al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. Penyakit seperti ini berpunca daripada pemikiran alLa Lamazhabiyyah (anti mazhab) yang menggesa masyarakat awam supaya tidak bermazhab. Sedangkan mengikuti kefahaman dan penjelasan dengan bertanyakan sesuatu masalah yang tidak diketahui kepada para ulama sesuatu yang diajar oleh agama Islam itu sendiri.

Ciri-Ciri dan Adab-Adab Seorang Ulama

Assalamualaikum Warahmatullah.

PENGENALAN

Memandangkan terdapat beberapa ahli iLuvislam yang PM saya bertanyakan tentang ulama, maka saya mengambil kesempatan yang singkat ini untuk menjelaskannya secara ringkas mengenai ciri-ciri ulama. Selain itu juga, beberapa thread di iLuvislam juga turut membincangkan perkara ini dan saya melihat tiada kesudahan yang baik pada thread-thread berikut. Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan perkara ini agar semua pihak dapat mengambil manfaatnya. InsyaAllah.

MAKSUD PERKATAAN ULAMA

Perkataan ulama merupakan kata jamak dari kata dasar alim bermaksud seseorang mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam. Ini berbeza dengan perkataan alim yang beerti orang yang mengetahui akan tetapi belum tentu orang itu mendalami. Perkataan ulama ini telah disebutkan pada beberapa tempat di dalam al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. samaada secara langsung ataupun tidak yang menunjukkan bahawa ulama adalah individu-individu terpilih yang menguasai ilmu Allah Taala dengan mendalam dan memiliki akhlak terpuji. Oleh itu, ulama yang saya maksudkan di sini ialah seseorang pakar yang mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan dengan agama Islam secara mendalam dengan syarat-syarat tertentu sebagai ulama.

Musuh-Musuh Tasawuf dan Tarikat

PENGENALAN
Pada pengamatan dan pemerhatian penulis, sejak kebelakangan ini, telah wujud segolongan puak di Malaysia yang begitu galak memperlekeh, mencaci dan menghina tawasuf serta tarikat. Pelbagai tohmahan demi tohmahan dilontarkan kepada tokoh-tokoh ulama sufi muktabar serta wali-wali Allah Taala. Golongan ini merasakan diri mereka begitu hebat berbanding para ulama yang telah disebutkan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai pewaris para nabi. Walaupun ilmu agama dan amalan yang dimiliki mereka tidaklah seberapa jika hendak dibandingkan dengan para ulama, namun mereka dengan megah mendabit dada untuk mengatakan mereka begitu arif serta faham semuanya mengenai Islam. Amat menyedihkan lagi, golongan ini terdiri daripada kalangan orang Islam sendiri yang mengaku memahami, mendalami dan memperjuangkan Islam, tetapi hakikatnya merekalah perosak umat Islam.
Mungkin mereka terlupa tentang firman Allah Taala di dalam sebuah hadis qudsi seperti berikut:
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baghawi: Daripada Anas bin Malik R.A., daripada Rasulullah S.A.W., daripada Jibril A.S., daripada Allah Taala berfirman (hadis qudsi) bermaksud:
Barangsiapa yang menghina kekasihKu maka sesungguhnya dia telah mengajakKu berperang, sesungguhnya Aku akan murka demi kekasih-kekasihKu seperti marahnya sesekor singa yang garang…
(Riwayat Ibnu Abi ad-Dunya, Abu Nuaim).
Powered by WordPress | T-Mobile Phones for Sale at BestInCellPhones.com | Thanks to Free Phones at iCellPhoneDeals.com, Free MMORPG Games and Fat burning furnace review